Sunday, August 3, 2008

Perodua Myvi mencabar gergasi di pusingan Desaru




Perodua M5 terus membuktikan bahawa mereka mampu mencabar pasukan yang menggunakan kereta berkuasa besar dalam Kejuaraan Rali Malaysia 2008 setelah Myvi 4WD Turbo berjaya mendahului Mitsubishi Lancer Evolution yang dipandu oleh pemandu veteran Gunaseelan Rajoo pada pusingan keempat di Desaru, Johor.
Pemandu Kan Chee Hong dan juruarah Wayne Cheah memulakan hari terakhir rali di tempat ketiga setelah dikenakan penalti 70 saat akibat terlewat keluar dari kawasan servis semasa hari pertama yang menyebabkan mereka ketinggalan 22 saat di belakang Gunaseelan.
Permulaan yang baik pada hari kedua membolehkan mereka mengejar dan memintas Gunaseelan selepas SS9 dan dan terus mengekalkan kedudukan tersebut hingga akhir rali di SS12 dengan kelebihan masa 1 minit 49 saat.
"Hari kedua bermula tanpa masalah dan Kan dapat menggunakan kelajuan dan ketangkasan Myvi 4WD Turbo kami dengan baik untuk mencatat masa yang pantas sepanjang hari.
"Kami memandu dengan laju tetapi berhati hati kerana laluan hari kedua juga sempit dan berliku," kata Cheah.
Laluan yang sukar dan mencabar di Desaru telah menyebabkan empat peserta terkeluar di hari pertama. Ini menyebabkan Gunaseelan serta pemandu lain turut memandu berhati hati untuk membolehkan Kan dan Cheah mengejar kedudukan.
Perodua Viva 4WD Turbo yang mengalami kerosakan teruk setelah melanggar pokok kelapa sawit semalam juga berjaya menghabiskan perlumbaan hari kedua walaupun pemandu Lim Leong Onn dan juruarah Khairul Anuar Mohd Razzali terpaksa bergelut dengan kereta mereka.
"Setelah mekanik menggantikan komponen yang rosak akibat kemalangan semalam, kami belum dapat menala suspensi dengan sebaik mungkin dan ini menyebabkan Viva 4WD Turbo agak sukar dikawal pada hari kedua.
"Lim memandu dengan sepantas mungkin sambil cuba untuk memperbaiki talaan dan prestasi kereta menjadi lebih baik setelah kami memasuki kawasan servis di sebelah pagi, walaubagaimanapun ianya tidak dapat menandingi kemampuan Viva ini sebelum perlanggaran.
"Kami memulakan hari kedua dengan sasaran menghabiskan perlumbaan dan ini telah tercapai," kata Khairul Anuar.
Walaupun kecewa dengan kemalangan yang menimpa Viva 4WD turbo, pengurus pasukan, Garry Chua gembira dengan pencapaian Myvi di tempat kedua.
"Sekiranya Viva tidak mengalami kerosakan akibat kemalangan, saya rasa ia boleh memberi cabaran hebat kepada Karamjit Singh dan Mitsubishi Lancer Evolution dan ini berdasarkan masa pantas yang dicatat oleh Lim pada dua SS pertama semalam.
Menurut Garry, kerosakan yang dialami begitu serius sehingga mereka terpaksa membina jentera lumba Viva 4WD turbo yang baru untuk meneruskan kejuaraan.
"Casis depan Viva telah rosak teruk dan kami meneruskan perlumbaan hari kedua dengan sasaran rendah sekadar menghabiskan rali.
"Casis yang bengkok menghalang kami dari menala suspense dengan betul untuk membolehkan Lim memandu dengan laju untuk hari ini.
"Pusingan seterusnya akan berlangsung pada bulan Oktober, ini memberi kami cukup masa untuk membina sebuah jentera lumba baru dan menguji kemampuan kereta tersebut sebelum ia menyertai rali seterusnya di Kota Tinggi, Johor," katanya.

No comments: